SHAH ALAM: PAS disifatkan sebagai penakut kerana tidak berani untuk berdepan dengan realiti sebaliknya mendakwa Umno-Barisan Nasional (BN) pula adalah dalang dalam kes rampasan kitab Bible bahasa Melayu dan Iban oleh Jabatan Agama Islam (JAIS) Januari lalu.
Malah, Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Shamsudin Lias berkata dakwaan itu hanyalah sangkaan buruk Pakatan Rakyat (PR) sahaja.
“Isu bible ini bukan isu apa, kita bukan ambil kesempatan sebab ini soal pentadbiran.Ini semua sangkaan-sangkaan buruk sahaja,” katanya ketika dihubungi Antarapos.
Semalam, Ahli Parlimen Shah Alam, Abdul Khalid Samad daripada PAS menuduh Umno adalah dalang di sebalik rampasan kontroversi kitab Bible bahasa Melayu dan Iban oleh Jabatan Agama Islam (JAIS), Januari lalu.
Khalid Samad yang juga bekas Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor berkata, JAIS langsung tidak kena mengena dengan Pakatan Rakyat (PR).
“Umno yang sudah hilang kuasanya kepada kerajaan negeri mahu mengembalikan pengaruh mereka menerusi pintu belakang menggunakan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS). Ketua Pengarah Mais dilantik Istana dan Datuk Mohamad Adzib merupakan ahli Umno,” katanya dalam satu program di Bukit Gelugor, Pulau Pinang semalam.
Mengulas lanjut, Shamsudin berkata Umno-BN sentiasa konsisten mempertahankan tindakan JAIS dan MAIS sekali gus menyeru semua pihak menghormati jabatan agama itu dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka.
“Dalam persidangan DUN lepas kita ada buat usul tetapi ia ditolak untuk menyokong tindakan JAIS. Bukan kita menggunakan JAIS. JAIS nak laksanakan kerja dia tetapi diganggu, enakmen yang diluluskan oleh kerajaan negeri Selangor itu sendiri adalah merupakan peruntukan undang-undang melaksanakan peraturan tertentu,” katanya.
“Pada kita kalau jabatan melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka janganlah ganggu, biarkan dia mengikut peraturan mereka tapi kalau dia (JAIS/MAIS) tak betul dan tak ikut peraturan ambil tindakan mengikut peraturan-peraturan juga,” tegasnya lagi.
Malah, Shamsudin sekali lagi menegaskan Umno-BN tidak pernah menggunakan apa-apa isu rakyat demi kepentingan parti itu sebaliknya hanya membuat apa yang difikirkannya betul dan demi kepentingan semua.
“Kita tidak pernah menggunakan siapa pun dalam isu ini. Mana yang tak betul kita kata tak betul, isu air tak betul juga. Kalau pentadbiran dan kerajaan negeri sampai terpaksa catu air kita tegur. Kita tak gunakan isu itu, kalau begitu saya bolehlah gunalah isu air itu untuk kepentingan,” tambahnya.
Pada 2 Januari lalu, Jais merampas 321 kitab Bible bahasa Melayu dan Iban daripada Persatuan Bible Malaysia (BSM) dan baru-baru ini menyerbu majlis perkahwinan pengantin Zarina Abdullah Majid di kuil Hindu kerana status agamanya.
Meskipun Peguam Negara mengeluarkan arahan supaya menutup kes tersebut, MAIS dan JAIS berpendapat kes rampasan itu boleh dibawa ke mahkamah.
Berikutan itu, Sultan Selangor bertitah supaya JAIS merujuk kepada pendakwaraya dan mahkamah untuk menentukan sama ada naskhah bible itu dikembalikan atau dilupuskan.
SUMBER : http://biswardihasbi.wordpres.com
No comments:
Post a Comment
PERHATIAN..!!
Semua komen yang ada berikan adalah tanggungjawab anda sendiri.. Penulis tidak akan bertanggungjawab sekiranya komen anda menjadi kontrovesi atau berhadapan dengan tindakan undang-undang.
-tak semua komen akan dibalas-